Pujian atau sindiran?

05 March 2008



Pujian, jika disampaikan dengan cara betul akan memberikan kesan yang positif kepada orang yang dipuji..Kajian menunjukkan kita akan mudah menyukai orang yang memberi maklum balas positif kepada kita. Pujian adalah salah satu maklum balas positif.

Walaupun demikian, di kalangan pelajar Melayu, terdapat satu budaya yang agak unik, iaitu budaya pujian yang menyidir. Sememangnya ungkapan-ungkapan dalam pujian tersebut mengandungi ayat-ayat yang memuji tetapi bagi individu yang ditujukan pujian tersebut, ungkapan tersebut tidak lain hanya sindiran atau gurauan!

“ rajin la ko stadi!”

“wah, rajinnya pegi library!”

“study! Mantap siot!”

“mantap! Pegi library!”

“banyaknya baca buku! Betul ke kau ni?”

Itulah antara ungkapan-unkapan yang saya dengar hampir setiap hari. Kalau bukan orang lain, saya sendiri yang menjadi mangsanya. Mungkin anda sendiri pun pernah menerima pujian sedemikian.

Mungkin niat si pemuji ikhlas untuk memuji, tetapi pujian yang tidak bertempat dan tidak kena caranya itu boleh memberi kesan negative terhadap orang yang dipuji. Lebih-lebih lagi mereka yang baru ingin berubah. Bagi mereka yang kuat azamnya, pujian sedemikian bagaikan mencurah air di daun keladi, tidak memberi kesan kepada mereka. Namun bagi yang lemah keazamannya, pujian sedemikian sedikit sebanyak mampu menggugat azam baru untuk berubah. Orang yang dipuji mungkin berasa dirinya terperangkap dalam keadaan serba salah dan timbul rasa segan untuk melakukan perubahan positif dalam diri.

Oleh itu, berhati-hatilah apabila ingin memuji seseorang kerana pujian itu ibarat pedang dua mata. Ia boleh membawa kebaikan, ia juga boleh membawa keburukan…..

0 comments: