Didikan

22 April 2008

Pernah suatu hari semasa makan malam, Abe Chik bertanya kepada seorang anak saudara yg berumur 6 tahun, “Padi dan beras yang mana satu lebih terdahulu?” Abe Chik merasa lucu melihat wajahnya terpinga-pinga cuba memahami pertanyaan itu. Namun sebentar kemudian dia menjawab: “Mana la Sofia tahu. Tu Allah yang buat. Dia turunkan hujan, lepas tu tumbuh la pokok padi.” Kali ini Abe Chik pula yang terpinga-pinga, tidak menjangkakan jawapan sedemikian akan keluar dari mulut seorang kanak-kanak berumur 6 tahun. Rupa-rupanya kanak-kanak sekecil itu sudah mengerti soal ketuhanan. Abe Chik pun bertanya pula tentang asal kejadian manusia. Kelihatan dia begitu ‘excited’ menceritakan kisah Nabi Adam kepada Abe Chik. Kemudian Abe Chik bertanya pula tentang Nabi-nabi yang lain. Perbualan kami pada malam itu berakhir dengan nasyid tentang 25 rasul. Sepanjang perbualan tersebut dia kelihatan sangat gembira seolah-olah mendapat sesuatu yang sangat bernilai (perhatian dari seorang bapa saudara kot…).

Peristiwa tersebut membuatkan Abe Chik berfikir, sebilangan besar kanak-kanak muslim di Malaysia telah dididik sejak kecil untuk mengenal Allah, tuhan pencipta alam. Mereka juga dididik tentang malaikat, kitab, nabi dan hari akhirat. Belajar membaca Al-Quran (muqaddam, Iqra’…) dan mengaji sehingga khatam juga merupakan satu kemestian. Namun, semua ini tidak dijadikan sebagai satu proses didikan yang berterusan seiring dengan pembesaran mereka.

Apabila meningkat dewasa, unsur-unsur didikan keagamaan ini semakin berkurangan dan diabaikan. Apa yang bertambah ialah didikan (samada secara langsung atau tidak langsung) yang bukan sahaja tidak Islamik(komik, anime, video game, movie …….), malah bertentangan dengan ajaran Islam(pergaulan bebas, dedah aurat, pornografi, Islam liberal, hedonism,………….) . Tidak hairanlah jika kanak-kanak yang suatu masa dahulu begitu ‘excited’ untuk berbicara tentang Islam, mengaji Al-Quran sepipi sehari, dan membaca doa setiap kali sebelum makan, kini apabila dewasa bergelumang dengan dosa dan maksiat lantaran perubahan negative dalam arus didikan yang mendominasi kehidupan ummat akhir zaman……..

Sesuatu harus dilakukan untuk menjadikan didikan Islam kembali mendominasi …..

Buka mata, cari kebenaran.
Tepuk dada, Tanya iman.

Dua kemungkinan

17 April 2008

Seorang kawan pernah berkata dalam tazkirahnya, “Dua kemungkinan yang berlaku kepada pelajar bidang perubatan: pertama, semakin dekat kepada Allah atau kedua, semakin jauh dari mengingati Allah.”
Kemungkinan pertama: semakin dekat kepada Allah
Antara cabaran dalam pengajian bidang perubatan ialah terlalu banyak yang perlu dibaca, difahami dan diingat. Apa yang dibaca, tak semua difahami. Apa yang dah difahami pun, tak semua dingat. Apa yang dah diingat pun, tak semua dapat dijawab dengan baik apabila ditanya oleh pensyarah. Menyedari cabaran ini, pelajar merasakan perlunya menjadikan Allah sebagai tempat mengharap dan memohon pertolongan. Mereka menjaga hubungan baik dengan Allah. Memperbanyakkan zikir dan munajat kepadaNya. Menadah tangan berdoa (bukan ‘membaca doa’, tapi ‘berdoa’) memohon pertolonganNya.

Pada masa sama, mereka tetap berusaha semaksimum yang boleh untuk menimba ilmu dan mengulangkaij pelajaran. Ilmu yang dipelajari dan pengalaman di wad, klinik atau A&E pula, menjadikan mereka ummat yang berfikir. Berfikir tentang tanda-tanda kebijaksanaan, kebesaran dan kekuasaan Allah menjadikan manusia.
“dan pada dirimu sendiri, tidakkah kamu perhatikan.”
(Az-Zariat:21)
Anatomi, biochemistry, dan physiology manusia mengandungi tanda-tanda kebijaksanaan Allah. Buka mata, lihatlah kebenaran……
Kemungkinan kedua: semakin jauh dari Allah
Mereka berhadapan dengan cabaran yang sama iaitu terlalu banyak yang perlu dibaca, difahami dan diingat. Apa yang dibaca, tak semua difahami. Apa yang dah difahami pun, tak semua dingat. Apa yang dah diingat pun, tak semua dapat dijawab dengan baik apabila ditanya oleh pensyarah. Namun, cabaran ini menjadikan mereka terlampau ghairah menimba ilmu sehingga lupa Allah sebagai tempat mengharap dan memohon pertolongan. Solat 5 waktu terutama Subuh seringkali terabai (kerana mengulangkaji sampai pagi), Al-Quran semakin jarang dibaca dan doa semakin lupa diamalkan..... Boleh jadi cabaran tersebut menyebabkan mereka tertekan(stress) dan menjadikan hiburan duniawi sebagai penghilang tekanan. Dalam terkapai-kapai mencari ketenangan, mereka lemas dalam dunia hedonism dan semakin hanyut jauh dari mengngati Allah……….

Mind setting

14 April 2008

Baru-baru ini Abe Chik telah diajak oleh seorang kawan menjadi fasilitator program untuk pelajar tingkatan 4 dan 5 yang akan menghadapi peperiksaan. Dalam program tu Abe Chik diberi satu slot untuk berkongsi pengalaman dengan peserta. Slot selama 15 minit tersebut Abe Chik gunakan dengan sebaiknya untuk membentangkan satu tajuk yang banyak merubah cara berfikir Abe Chik, iaitu ‘mind setting’. Kali terakhir bentangkan tajuk ni ialah semasa tingkatan 5 dahulu. Masa tu Abe Chik bentangkan kepada pelajar tingkatan 4 dan 5 di sekolah Abe Chik.

Mind setting ialah proses minda yang menetapkan bagaimana kita menilai sesuatu perkara dan mempengaruhi reaksi kita terhadap perkara tersebut. Proses ini biasanya berlaku secara spontan tanpa disedari. Namun minda kita boleh dilatih untuk mengawal proses ini. Misalnya apabila belajar dalam bilik yang panas, secara spontan minda kita menilai kepanasan itu sebagai sesuatu yang tidak menyelesakan (negatife). Sebagai reaksi, selain badan kita berpeluh, minda tidak dapat berfungsi secara optimum dan tidak dapat menumpukan perhatian. Menggunakan mind setting, minda boleh dilatih untuk menilai suasana kepanasan tersebut sebagai suasana yang dingin dan menyelesakan(positif)! Kesannya, minda akan dapat berfungsi secara optimum tanpa tanpa dipengaruhi oleh suasana panas.

Dalam konteks motivasi, kita boleh menggunakan ‘mind setting’ untuk meyakinkan diri sendiri bahawa kita mampu melakukan sesuatu.

Pertama kali menggunakan kaedah mind setting ini semasa berumur 9 tahun. Masa tu Abe Chik terpilih mewakili sekolah ke pertandingan pidato. Satu perkara yang normal, apabila pertama kali bercakap dihadapan audience yang ramai, perasaan gementar tidak dapat dielakkan. Namun, salah seorang abang Abe Chik mengajar satu tips yang amat berguna buat berhadapan situasi tersebut. Katanya kepada Abe Chik,

‘Anggaplah semua yang ada dihadapan tidak tahu apa-apa. Hanya adik sahaja yang tahu pasal tajuk tu’

Maka Abe Chik pun menetapkan minda (mind setting) Abe Chik bahawa semua audience yang ada dihadapan (termasuk juri dan penjaga masa yang semestinya jauh lebih tua dari Abe Chik), tidak tahu apa-apa. Hanya Abe Chik (masa tu berumur 9 tahun) yang paling tahu akan tajuk pidato tersebut.

Kesan daripada ‘mind setting’ tersebut, Abe Chik menjadi lebih yakin, berani dan bersedia untuk berhadapan dengan audience yang memenuhi dewan tersebut walaupun itulah pengalaman pertama bercakap di khalayak ramai. (PERINGATAN: tips ‘mind setting’ pengucapan awam di atas hanya sesuai untuk kanak-kanak sekolah rendah. Tidak sesuai untuk yang sudah dewasa kerana dibimbangi timbul perasaan riyak, ujub dan takabur. Mana boleh anggap kita sahaja yang tahu serba-serbi dan orang lain tidak tahu apa-apa!)

Selain berhadapan dengan pengalaman baru, ‘mind setting’ juga boleh diaplikasikan semasa menghadapi pelbagai situasi seperti tekanan, kesakitan, ketakutan, kegagalan dan kritikan.

Pakatan

03 April 2008

Pakatan akan terbentuk apabila setiap individu atau komponen dalam pakatan mempunyai titik persamaan dan saling memerlukan. Boleh jadi titik persamaan tersebut merupakan matlamat atau agenda yang sama, berhadapan dengan musuh yang sama, masalah yang sama atau cabaran yang sama.

Pakatan madu
Di Kuala Terengganu baru-baru ini, dua wanita bermadu membuat pakatan untuk menuntut fasakh apabila mereka menghadapi masalah yang sama iaitu suami yang mereka dakwa tidak memberi nafkah zahir antara enam hingga 11 bulan, tiada lagi persefahaman dengannya, tidak bertanggungjawab sebagai ketua keluarga serta gagal menunaikan tuntutan syarak iaitu solat dan puasa. Bagaimanapun pakatan tersebut diketahui oleh si suami apabila menerima surat daripada peguam kedua-dua isterinya. Si suami kemudiannya memohon kepada Mahkamah Rendah Syariah untuk melafazkan cerai serta-merta tanpa melalui perbicaraan yang biasanya dilakukan berdasarkan tuntutan fasakh.
“Jika itu yang mereka mahukan, saya akan tunai dan permudahkan tuntutan mereka kerana banyak perkara boleh dielakkan seperti pembaziran wang dan masa jika tuntutan (fasakh) mereka tidak ditukar (kepada perceraian),” kata si suami kepada wartawan.

Hakim Mahkamah, Wan Abdul Malik Wan Sidek berkata, kes perceraian itu mencatat sejarah mahkamah kerana beliau sendiri tidak pernah mendengar ada suami menceraikan dua isteri serentak pada hari yang sama.

Pakatan rakyat
Baru-baru ini juga, tiga parti pembangkang utama PAS, Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) dan DAP menubuhkan Pakatan Rakyat apabila mempunyai agenda dan matlamat yang sama iaitu menjaga kepentingan rakyat. Komponen dalam Pakatan Rakyat juga mempunyai titik persamaan yang sama iaitu anti kronisme, anti perkauman, anti penindasan dan anti penyelewengan.

"Pengalaman lepas akan banyak mengajar kita. Bagaimanapun ini tidak bermakna kita menggadaikan prinsip perjuangan kerana pakatan ini kita wujudkan secara bekerjasama untuk menentang penyelewengan dan seumpamanya"
- Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasaruddin Hassan

Ketua Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar Mat Akin menyifatkan penubuhan Pakatan Rakyat adalah suatu peritiwa penting dalam sejarah politik Malaysia lebih-lebih lagi ia memberi satu ruang untuk kewujudan sistem dua parti


Pakatan ummat Islam
Baru-baru ini juga, ummat Islam seluruh dunia diseru supaya menyertai pakatan untuk menangani isu klip video ‘Fitna’ terbitan seorang ahli politik Belanda, Geert Wilders yang bertujuan menghina Islam dan mencaci Al-Quran. Ummat Islam seluruh dunia mempunyai matlamat yang sama iaitu menunjukkan protes besar-besaran, memberikan pengajaran kepada pihak yang tidak bertanggungjawab dan menyangkal tuduhan biadap yang dilemparkan kepada Islam.
Dalam hal ini, Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi telah menyarankan beberapa perkara:
1).Hujah-hujah ilmiah dan akademik perlu disebarkan untuk menyangkal tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan terhadap Islam, dan hujah-hujah ini perlu diterbitkan dalam pelbagai bahasa agar masyarakat seluruh dunia dapat memahami Islam dengan sebenarnya.
2) Masyarakat perlu meminta dan mendesak pihak kerajaan di negara masing-masing agar membuat pendirian tegas dan menyatakan bantahan secara rasmi bagi membuktikan bahawa dunia Islam tidak redha dengan sebarang tohmahan dan tuduhan yang dilemparkan.
3) Respons dalam bentuk kesenian dan sebaran media perlu dilakukan kerana filem-filem dan rancangan televisyen boleh memainkan peranan yang sangat penting dalam menjelaskan sifat dan imej sebenar Islam.
4) Umat Islam juga perlu memboikot produk-produk yang dihasilkan oleh negara-negara yang membenarkan rakyatnya menghina dan memfitnah Islam secara terang-terangan.
5)Umat Islam sendiri perlu mendalami ilmu agama dan mengamalkan akhlak mulia sepertimana diajar Islam dan ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. agar tidak membentuk persepsi yang salah terhadap Islam.

Dalam melaksanakan saranan tersebut setiap individu muslim seharusnya mengambil posisinya masing-masing. Para ilmuan dan pendakwah Islam misalnya seharusnya bangkit menyahut seruan mufti Perak untuk menjelaskan kekeliruan berhubung filem pendek tersebut.

"Hakikatnya, Geert Wilders itu adalah pihak yang menabur fitnah bukannya Islam yang menjadi fitnah.
"Justeru, para ilmuan dan pendakwah Islam hendaklah berganding bahu bagi menjelaskan fitnah yang cuba dipalitkan kepada kesucian Islam,"
-Mufti Perak, Dato' Harussani Zakaria
Bagi yang mempunyai ‘kuasa menjual’ pula seharusnya mencontohi tindakan pasar raya Mydin yang memboikot barangan Belanda dengan mempamerkan label merah memaklumkan tentang produk-produk keluaran syarikat berasal dari Belanda.

‘‘Ia langkah yang bagus. Ini tindakan tepat. Mydin berani memboikot dan kita mahu pengguna turut menyokong langkah ini.
‘‘Kita lihat sendiri keberanian sebuah pasar raya besar mengambil risiko memboikot barangan jualannya. Kita mahu tindakan ini turut diikut pasar raya lain,”
-Koordinator Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin

Bagi yang mempunyai ‘kuasa membeli’, mereka juga harus mengambil bahagian. Mereka sebagai pengguna memainkan peranan besar memastikan sesuatu barang diboikot atau tidak.

‘‘Kalau pasar raya boikot tetapi pengguna sendiri terus beli. Tidak ada gunanya,’’
-Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman
Bagi yang tidak mahu boikot barangan keluaran negara tersebut kerana takut menzalimi ummat Islam di sana, masih ada peluang mereka untuk menyertai pakatan ini. Sahutlah saranan Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi yang ke lima iaitu mendalami ilmu agama dan mengamalkan akhlak mulia sepertimana diajar Islam dan ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. agar tidak membentuk persepsi yang salah terhadap Islam.