Pakatan

03 April 2008

Pakatan akan terbentuk apabila setiap individu atau komponen dalam pakatan mempunyai titik persamaan dan saling memerlukan. Boleh jadi titik persamaan tersebut merupakan matlamat atau agenda yang sama, berhadapan dengan musuh yang sama, masalah yang sama atau cabaran yang sama.

Pakatan madu
Di Kuala Terengganu baru-baru ini, dua wanita bermadu membuat pakatan untuk menuntut fasakh apabila mereka menghadapi masalah yang sama iaitu suami yang mereka dakwa tidak memberi nafkah zahir antara enam hingga 11 bulan, tiada lagi persefahaman dengannya, tidak bertanggungjawab sebagai ketua keluarga serta gagal menunaikan tuntutan syarak iaitu solat dan puasa. Bagaimanapun pakatan tersebut diketahui oleh si suami apabila menerima surat daripada peguam kedua-dua isterinya. Si suami kemudiannya memohon kepada Mahkamah Rendah Syariah untuk melafazkan cerai serta-merta tanpa melalui perbicaraan yang biasanya dilakukan berdasarkan tuntutan fasakh.
“Jika itu yang mereka mahukan, saya akan tunai dan permudahkan tuntutan mereka kerana banyak perkara boleh dielakkan seperti pembaziran wang dan masa jika tuntutan (fasakh) mereka tidak ditukar (kepada perceraian),” kata si suami kepada wartawan.

Hakim Mahkamah, Wan Abdul Malik Wan Sidek berkata, kes perceraian itu mencatat sejarah mahkamah kerana beliau sendiri tidak pernah mendengar ada suami menceraikan dua isteri serentak pada hari yang sama.

Pakatan rakyat
Baru-baru ini juga, tiga parti pembangkang utama PAS, Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) dan DAP menubuhkan Pakatan Rakyat apabila mempunyai agenda dan matlamat yang sama iaitu menjaga kepentingan rakyat. Komponen dalam Pakatan Rakyat juga mempunyai titik persamaan yang sama iaitu anti kronisme, anti perkauman, anti penindasan dan anti penyelewengan.

"Pengalaman lepas akan banyak mengajar kita. Bagaimanapun ini tidak bermakna kita menggadaikan prinsip perjuangan kerana pakatan ini kita wujudkan secara bekerjasama untuk menentang penyelewengan dan seumpamanya"
- Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasaruddin Hassan

Ketua Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar Mat Akin menyifatkan penubuhan Pakatan Rakyat adalah suatu peritiwa penting dalam sejarah politik Malaysia lebih-lebih lagi ia memberi satu ruang untuk kewujudan sistem dua parti


Pakatan ummat Islam
Baru-baru ini juga, ummat Islam seluruh dunia diseru supaya menyertai pakatan untuk menangani isu klip video ‘Fitna’ terbitan seorang ahli politik Belanda, Geert Wilders yang bertujuan menghina Islam dan mencaci Al-Quran. Ummat Islam seluruh dunia mempunyai matlamat yang sama iaitu menunjukkan protes besar-besaran, memberikan pengajaran kepada pihak yang tidak bertanggungjawab dan menyangkal tuduhan biadap yang dilemparkan kepada Islam.
Dalam hal ini, Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi telah menyarankan beberapa perkara:
1).Hujah-hujah ilmiah dan akademik perlu disebarkan untuk menyangkal tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan terhadap Islam, dan hujah-hujah ini perlu diterbitkan dalam pelbagai bahasa agar masyarakat seluruh dunia dapat memahami Islam dengan sebenarnya.
2) Masyarakat perlu meminta dan mendesak pihak kerajaan di negara masing-masing agar membuat pendirian tegas dan menyatakan bantahan secara rasmi bagi membuktikan bahawa dunia Islam tidak redha dengan sebarang tohmahan dan tuduhan yang dilemparkan.
3) Respons dalam bentuk kesenian dan sebaran media perlu dilakukan kerana filem-filem dan rancangan televisyen boleh memainkan peranan yang sangat penting dalam menjelaskan sifat dan imej sebenar Islam.
4) Umat Islam juga perlu memboikot produk-produk yang dihasilkan oleh negara-negara yang membenarkan rakyatnya menghina dan memfitnah Islam secara terang-terangan.
5)Umat Islam sendiri perlu mendalami ilmu agama dan mengamalkan akhlak mulia sepertimana diajar Islam dan ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. agar tidak membentuk persepsi yang salah terhadap Islam.

Dalam melaksanakan saranan tersebut setiap individu muslim seharusnya mengambil posisinya masing-masing. Para ilmuan dan pendakwah Islam misalnya seharusnya bangkit menyahut seruan mufti Perak untuk menjelaskan kekeliruan berhubung filem pendek tersebut.

"Hakikatnya, Geert Wilders itu adalah pihak yang menabur fitnah bukannya Islam yang menjadi fitnah.
"Justeru, para ilmuan dan pendakwah Islam hendaklah berganding bahu bagi menjelaskan fitnah yang cuba dipalitkan kepada kesucian Islam,"
-Mufti Perak, Dato' Harussani Zakaria
Bagi yang mempunyai ‘kuasa menjual’ pula seharusnya mencontohi tindakan pasar raya Mydin yang memboikot barangan Belanda dengan mempamerkan label merah memaklumkan tentang produk-produk keluaran syarikat berasal dari Belanda.

‘‘Ia langkah yang bagus. Ini tindakan tepat. Mydin berani memboikot dan kita mahu pengguna turut menyokong langkah ini.
‘‘Kita lihat sendiri keberanian sebuah pasar raya besar mengambil risiko memboikot barangan jualannya. Kita mahu tindakan ini turut diikut pasar raya lain,”
-Koordinator Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin

Bagi yang mempunyai ‘kuasa membeli’, mereka juga harus mengambil bahagian. Mereka sebagai pengguna memainkan peranan besar memastikan sesuatu barang diboikot atau tidak.

‘‘Kalau pasar raya boikot tetapi pengguna sendiri terus beli. Tidak ada gunanya,’’
-Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman
Bagi yang tidak mahu boikot barangan keluaran negara tersebut kerana takut menzalimi ummat Islam di sana, masih ada peluang mereka untuk menyertai pakatan ini. Sahutlah saranan Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi yang ke lima iaitu mendalami ilmu agama dan mengamalkan akhlak mulia sepertimana diajar Islam dan ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. agar tidak membentuk persepsi yang salah terhadap Islam.

1 comments:

Anonymous said...

hehe mantap ulasan politik bley jadik penganalisa politik ala media baru huhu...mantap siot!
-dr yg menangkap gamba tidomu :p